PENGENALAN

Matlamat


Di dunia ini Allah jadikan ada golongan yang kaya dan ada golongan yang miskin. Adanya yang miskin ini membolehkan yang kaya menyalurkan kelebihan yang telah Allah berikan untuk membela mereka yang memerlukan. Ia adalah perintah Allah yang perlu diambil berat. Sedangkan golongan yang miskin pula memang memerlukan pembelaan dari yang kaya untuk memenuhi tuntutan dalam keperluan kehidupan mereka.
Diharapkan semoga Pertubuhan Kebajikan Nur Safwah ini menjadi platform untuk mempertemukan atau menjadi saluran untuk para dermawan dengan golongan yang memerlukan ini.
Tentulah harapan daripada Pertubuhan Kebajikan Nur Safwah ini ingin melahirkan remaja yang bukan sahaja terjamin makan minum dan keperluan lahiriahnya, bahkan yang menjadi keutamaan ialah pendidikan akademik dan agama mereka. Ini adalah untuk menjamin mereka menjadi insan yang tinggi mindanya, akalnya, jasmaninya dan yang paling utama adalah rohaninya agar menjadi orang yang berjaya dan bertaqwa, yang akan menjadi aset yang sangat bernilai kepada agama, bangsa dan negara.
InsyaAllah mereka bakal menjadi model kepada rakan sebayanya kerana memiliki jati diri serta kekuatan jiwa yang kental yang bertunjangkan kepada kekuatan perhubungannya dengan Allah, sehingga mampu mengawal dirinya daripada terjerumus ke lembah kerosakan dan kehinaan yang melanda masyarakat dunia sekarang terutamanya para remaja.
Ia juga merupakan sebuah asrama untuk menempatkan pelajar-pelajar yang mahu hidupnya didisiplinkan mengikut disiplin Islam dalam kehidupan hariannya agar menjadi remaja yang taat dengan Tuhannya, ibu bapa, guru dan pemimpinnya.

Visi


Menjadikan Pertubuhan Kebajikan Nur Safwah bukan sahaja sebagai pusat pembelaan malahan sebagai pusat pendidikan yang penuh dengan kasih sayang bagi melahirkan manusia berwibawa lagi beragama.

Misi


Kanak-kanak dan remaja adalah satu golongan yang amat berpotensi untuk dibentuk menjadi aset yang tidak ternilai kepada agama, bangsa dan negara. Jika digilap potensinya, mereka akan berpeluang menjadi pemimpin pada masa hadapan.
Pertubuhan Kebajikan Nur Safwah berharap mereka akan menjadi orang yang peka bagi membimbing rakan-rakan yang senasib dan juga remaja yang kini kebanyakannya sudah dirosakkan oleh Barat.
Besar harapan Pertubuhan Kebajikan Nur Safwah untuk dapat membantu dan membela anak-anak golongan yang layak menerima zakat, ibu tunggal, keluarga kurang mampu dan fakir miskin. Moga kerja amal ini semakin menjadi budaya masyarakat Malaysia yang terkenal dengan keperihatinannya.

Prinsip


Ingin melahirkan manusia yang menjadikan Allah sebagai sumber rujukan dengan berusaha dengan mendekatkan diri kepadaNya kerana Dialah sebaik-baik pemberi rezeki serta amat belas kasihan kepada semua makhluk ciptaanNya.
Tidak kesal dengan takdir yang diberikan kepadanya bahkan sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah walaupun ditakdirkan kehidupannya kurang bernasib baik. Malah merasakan bahawa kesusahan itu adalah tanda kasih sayang dan perhatian daripada Allah.
Sentiasa bekerjasama untuk membaiki diri. Sangat berdisiplin dan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu serta bercita-cita tinggi untuk mencapai kejayaan.
Pengalaman kesusahan menjadi pemangkin kepada setiap diri untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang dianugerahkan serta sensitif dengan kesusahan orang sehingga terdorong untuk membantu mereka.



Golongan Yang Dibela

Menjaga kebajikan golongan asnaf zakat, anak-anak keluarga miskin atau kurang berkemampuan, ibu tunggal, orang yang dalam bermusafir, para pendakwah yang ingin membela Islam dan anak-anak yang hendak mendisiplinkan diri dalam kehidupan cara Islam yang dipraktikkan di asrama yang dijadualkan kehidupan sehariannya.
Bukan sahaja keperluan fizikal, bahkan keperluan rohani mereka sangat diambil berat agar mereka dapat menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan.



Konsep Asrama Pertubuhan Kebajikan Nur Safwah

Di Asrama Pertubuhan Kebajikan Nur Safwah mempunyai seorang ustaz dan seorang ustazah (suami dan isteri) yang dipanggil 'Walid' dan "Walidah' yang berperanan selaku ayah dan ibu untuk memantau perjalanan aktiviti, kebajikan dan keselamatan penghuni asrama.
Dibantu pula oleh dua orang ukhti (remaja), yang berperanan selaku kakak dan pembimbing agar penghuni asrama dapat mendisiplinkan diri dalam melaksanakan kewajipan ibadah, waktu belajar, kerja sekolah, tugasan asrama dan lain-lain mengikut disiplin dan jadual yang telah ditetapkan.
Ibu-ibu pelajar yang tinggal berdekatan dengan asrama Pertubuhan Kebajikan Baitul Nur Safwah secara sukarela bergilir-gilir untuk membantu dalam kerja-kerja di dapur dan juga kebersihan di asrama ini.
Dengan ini Asrama Pertubuhan Kebajikan Nur Safwah ini mempunyai ciri-ciri sebuah keluarga yang lengkap yang akan menghadirkan suasana kekeluargaan dan kasih sayang serta perhatian seperti sebuah keluarga yang normal.
Ini diharapkan akan dapat memberikan anak-anak ini kasih sayang dan perhatian yang amat diperlukan oleh seorang kanak-kanak yang sedang membesar.
Dengan ini Pertubuhan Kebajikan Nur Safwah berharap dapat memenuhi bukan sahaja keperluan dan kebajikan lahir anak-anak ini malah lebih penting adalah keperluan kerohanian melalui ibadah dan istiqomah dan kasih sayang yang amat diperlukan untuk melahir seorang insan yang bertaqwa.